.

Wednesday, January 21, 2009

TIP-TIP PERKAHWINAN

8P Tip kebahagian rumahtangga

1. P yang pertama ialah 'puji' iaitu setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan.

2. P kedua ialah 'peluk' yang mana pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang.

3. P ketiga ialah 'penghargaan' di mana amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang.

4. P keempat ialah 'perhatian' yang mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan.

5. P kelima mewakili 'persefahaman' kerana sebagai manusia yang bekerjaya memerlukan pasangan lebih bertolak ansur dan memahami kerjaya masing-masing.

6. P keenam membawa maksud 'pergaulan' iaitu pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.

7. P ketujuh adalah 'percutian' di mana seseorang itu perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangannya di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin atau gangguan lain.

8. P yang terakhir ialah 'permohonan' iaitu doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia.

Ust. Siti Nur Bahyah juga menurunkan beberapa amalan doa selepas solat yang boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami isteri iaitu membaca surah Al-Imran ayat ke-31 atau membacakan ayat ke-200 surah sama.

Beliau berkata, kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar ialah mendekatkan diri dengan Allah.

Katanya, apabila seseorang insan mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, dia akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa yang kosong.

"Ketika kita jauh daripada Allah, iblis yang suka umat manusia bercerai berai akan menghampiri dan melalaikan kita daripada tanggungjawab terhadap keluarga," katanya


Tips mengambil hati pasangan

Keharmonian rumahtangga terletak di tangan kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Jika anda saling memahami dan menghormati antara satu sama lain, insyaAllah rumahtangga anda akan sentiasa aman dan bahagia.

Tips mengambil hati suami


Sentiasa berhias untuk suami. Bersiap dan berhias menunggu kepulangan suami. Sentiasa menjaga kecantikan diri seperti masa berkasih-kasih dahulu.

Memahami hobi suami dan sentiasa memberi dorongan selagi ia memberi manfaat dan menggembirakan suami anda tetapi berbincanglah jika hobi berkenaan terlalu memakan masa untuk anda bersama atau suami anda terlalu boros untuk hobi tersebut.

Menyediakan hidangan dan minuman untuk suami tanpa perlu disuruh

Tips mengambil hati isteri

Memberi hadiah kepada isteri. Walaupun nilainya cuma beberapa ringgit tetapi ia akan dihargai oleh pasangan anda

Memuji masakan isteri anda. Memasak dan menguruskan kerja-kerja rumah adalah pengorbanan yang besar dilakukan oleh isteri anda.

Temankan isteri anda membeli-belah dan memberi pendapat anda apabila diminta
Selalu memeluk dan membelai isteri. Sebelum kahwin haram pegang tangan tapi ramai yang buat, bila lepas kahwin nak sentuh isteri pun susah.

Memuji kecantikan isteri apabila dia berhias. Jangan sekali-kali memuji kecantikan perempuan lain didepannya. Ini akan membuatkan isteri anda berkecil hati dan berasa kekurangan.

Tips mencari jodoh

Jodoh pertemuan ditangan Tuhan tetapi kita sebagai manusia perlulah berusaha mencari jodoh yang sesuai dengan citarasa kita dan kehendak agama.

Berikut adalah beberapa tips untuk anda mendapat jodoh.

Minta bantuan dari ibu bapa - teknik ini sangat popular ketika dahulu dimana ibubapa mencari jodoh untuk anak mereka tetapi ia masih lagi boleh digunapakai untuk zaman ini kerana ibubapa mempunyai kenalan dan mungkin mereka tahu bagaimana akhlak anak rakan mereka tersebut untuk dijadikan calon.

  1. Hadiri aktiviti- Serta pelbagai aktiviti
  2. Minta bantuan rakan
  3. bantuan adik beradik
  4. Chat room
  5. Laman cari jodoh

Bagaimana Memaksimumkan Peranan Jurugambar Anda


-Seperti yang tersiar di dalam majalah Pesona Pengantin-

Oleh: Hasnuddin Abu Samah, Pengarah Urusan, Adan Impresif.S

Sudah menjadi kemestian ketika ini, setiap majlis perkahwinan pasti memerlukan perkhidmatan jurugambar untuk merakam detik-detik manis hari bahagia pasangan mempelai. Biasanya, jurugambar profesional akan diupah bagi melaksanakan tugas penting ini. Harganya boleh mencecah ribuan ringgit. Persoalannya, apakah yang anda perlu lakukan untuk mendapat hasil yang setimpal dengan wang yang telah anda belanjakan?


Pertama sekali, anda perlu memilih jurugambar yang terbaik berdasarkan bajet dan citarasa anda. Dapatkan seberapa banyak maklumat yang boleh supaya anda benar-benar faham tentang apa yang bakal anda perolehi. Nyatakan kehendak anda kepada jurugambar dan pastikan beliau menulis apa yang telah dipersetujui bersama. Perbincangan awal ini amat penting kerana ianya akan memberi kesan kepada seluruh proses selepas ini.


Baiklah, sekarang anda telah mendapatkan jurugambar yang terbaik pilihan anda. Beliau semestinya seorang yang profesional dan anda yakin akan kebolehannya. Jurugambar anda sepatutnya tahu apakah tugas-tugas beliau. Tetapi, dengan sedikit peranan dari pihak anda sendiri, anda boleh memaksimumkan peranan jurugambar anda.


Sepanjang pengalaman saya sebagai jurugambar perkahwinan, saya mengakui sehandal mana pun seseorang jurugambar itu, beliau tidak akan dapat menghasilkan gambar yang hebat tanpa adanya beberapa faktor penting yang lain.


Contohnya, cuba bayangkan bagaimana agaknya hasil gambar yang dirakam sekiranya sepanjang majlis perkahwinan, pengantin perempuan kelihatan kelam kabut dan bermasam muka?


Rancang dengan teliti aturcara majlis perkahwinan anda. Beri ruang masa yang selesa untuk setiap acara. Dapatkan tenaga kerja yang mencukupi bagi menguruskan majlis anda dari peranan kecil hinggalah yang besar. Lebih baik lagi jika anda boleh melantik seorang pembantu untuk berurusan dengan jurugambar. Maklumkan dengan terperinci tentang aturcara majlis kepada jurugambar anda. Dengan ini, majlis anda akan berjalan lancar dan gambar majlis anda akan dapat dirakam dengan sempurna.


Pasangan pengantin perlu mendapat rehat yang cukup sebelum majlis perkahwinan. Serahkan segala urusan untuk majlis perkahwinan kepada orang yang anda percayai. Anda cuma ada satu peranan penting pada majlis perkahwinan anda, iaitu – bergembira!
Masa terbaik untuk merakam gambar potret adalah sejurus selepas pengantin siap dimekap. Anda perlu mengatur masa supaya jurugambar sempat merakam gambar potret anda sebelum sesuatu acara bermula.


Biasanya, untuk acara resepsi di hotel, pasangan pengantin akan kesuntukan masa untuk merakam gambar potret kerana akan digesa turun ke dewan. Alasan yang akan diberi ialah, “tetamu kehormat sedang menunggu” atau “lepas bersanding nanti kita bergambar”.
Tetapi, sebagai jurugambar yang menjalankan tugas, saya akan menjelaskan, “harap tetamu kehormat boleh menunggu 5 minit kerana anda raja sehari perlu bergambar untuk kenangan seumur hidup, dan jika gambar potret anda dirakam selepas tamat majlis, anda akan kelihatan letih dan sudah hilang seri.” Sayang sekali jika saat penting dan ceria ini tidak dapat dirakam. Matlamat jurugambar hanyalah untuk menghasilkan gambar yang terbaik untuk anda.
Ada pengantin yang kekok apabila berhadapan dengan kamera. Anda boleh jadikan diri anda lebih cantik di dalam gambar dengan sedikit latihan. Lihat wajah anda di dalam cermin dan berlatihlah untuk senyum.


Senyum yang bagaimanakah akan membuatkan anda kelihatan lebih cantik. Bayangkan diri anda adalah seorang model. Dapatkan ekspresi wajah yang pelbagai untuk anda lakukan ketika bergambar nanti. Anda juga perlu berlatih untuk ‘posing’. Rujuk majalah untuk mendapat idea. Namun, yang paling penting sekali, anda hendaklah menjadi diri anda sendiri dan berasa selesa dengan penampilan anda.


Setelah majlis anda selesai, biasanya jurugambar akan mengambil masa di antara satu hingga 2 minggu untuk menyiapkannya. Ini termasuklah proses suntingan, cetakan, penyusunan dalam album dan sebagainya. Kerja ini perlu dilakukan dengan teliti bagi menjamin kualiti yang baik. Oleh itu, janganlah menggesa supaya gambar anda disiapkan lebih cepat dari masa yang dijanjikan kerana ianya akan memberi kesan kepada kualiti gambar anda.


Sumber: www.adan.biz

0 comments: